Wednesday, May 14, 2008

Mawar Berduri


Sepanjang minggu ini kami semua ‘terpaksa’ mengikuti satu kursus wajib yang dinamakan ‘Kursus Intel’. Tiada apa yang menarik tentang kursus ini. Secara peribadinya saya masih tidak nampak dengan jelas kepentingan kursus ini terhadap karier saya di masa hadapan selain daripada untuk memenangi wang sejumlah RM1000 dan sebuah laptop. (yang ini mungkin penting kepada orang lain kot..erm siapa ya? Anda tahu siapa anda). Oleh itu, selamat maju jaya saya ucapkan kepada segelintir yang bertungkus-lumus serta bersemangat waja menyiapkan projek kursus ini dengan cemerlangnya.

Saya dan rakan sekumpulan, cik Mawar Berduri (sememangnya bukan nama sebenar) baru sahaja siap ‘menyetelkan’ segala yang patut untuk projek ini. Sebenarnya kami tidak langsung berminat untuk memenangi pertandingan ini, namun kami berjaya menyiapkan projek ini dengan terlebih awal kerana kami tidak ingin memikirkan tentangnya lagi. Jadi cepat-cepat siapkan agar boleh bersantai selepas ini. hahaha

Apa yang ingin diceritakan di sini ialah, sebenarnya sudah lama saya tidak bekerjasama dengan cik Mawar Berduri ini. Rindu jugalah dalam erti kata lain. Hehe. Selama saya di Victoria University dahulu, dialah teman berakademik saya. Kami selalu bersama-sama menyibukkan diri di perpustakaan mencari bahan-bahan dan berdiskusi untuk assignment. Kami juga sentiasa seangkatan dalam membuat assignment pada saat-saat terakhir. (ONS! Hehe). Selain dari teman berakademik, adakalanya dia juga teman berjoli saya ketika di sana. Masih saya ingat lagi, kami berdua keluar berjalan-jalan pada Hari Krismas 2006. Bandar Wellington sangat-sangat sunyi pada hari itu. Barangkali semua orang duduk di rumah menikmati cuti dan bersama keluarga saja. Dan kami pula, sedang berseronok dan berjoli seperti bandar itu bapak kami yang punya. Hehe =P

Selain itu, ada suatu perkara yang membuatkan saya kagum terhadap teman saya ini. Secara jujur dan ikhlas saya katakan di sini, daripada apa yang dia pernah hadapi suatu ketika dahulu, saya melihat dia sebagai seorang yang berani dan tabah. Banyak perkara saya belajar darinya juga. Salah satunya ialah kerana dia telah membuktikan kepada saya bahawa kita sememangnya boleh melupakan detik-detik hitam dalam hidup kita, jika kita mahu. Memang benar, atas kemahuan dan kesungguhan diri sendiri, serta izin Tuhan (ini paling penting) kita pasti boleh melenyapkan segala kenangan pahit berkisar kesedihan dan keperitan yang pernah muncul dalam hidup kita.

Saya mempercayai hakikat ini. Dahulu saya juga pernah jatuh tersungkur akibat kehilangan ‘sesuatu’ yang saya sangkakan saya tidak boleh hidup tanpanya. Walaupun saya merelakannya, namun ia sangat memberi kesan. Hidup saya berserabut dan hilang arah. Boleh kata penangannya membuatkan saya ‘gila’. Tetapi perlahan-lahan saya juga cuba melupakannya. Atas berkat doa ibubapa dan teman-teman, beserta izinNya juga, saya akhirnya dapat bangun semula tanpa membawa apa-apa ingatan tentangnya lagi. Semuanya terhapus dengan sendirinya. Tiada lagi sedih, tiada lagi benci. Segalanya bagaikan tidak pernah wujud. Syukur Alhamdulillah…

Saya tidak pernah kesal dengan apa yang terjadi kepada diri saya suatu masa dahulu. Kerana saya belajar seribu satu pengajaran daripadanya. Saya percaya, bahawa setiap satu kejadian itu pasti ada hikmah disebaliknya. Hikmah yang sangat besar yang kita sendiri tidak pernah terfikir sebelum ini.

Ini adalah secebis kata-kata penguat semangat daripada teman baik saya yang ingin saya kongsi bersama di sini. =)

Bila kau memandang segalanya dari Tuhanmu,
yang menciptakan segalanya,
yang menimpakan ujian,
yang menjadikan sakit hatimu,
yang membuatkan keinginanmu terhalang
serta menyusahkan hidupmu,
pasti akan damailah hatimu
kerana masakan Allah sengaja mentakdirkan segalanya
untuk sesuatu yang sia-sia.
Bukan Allah tidak tahu derita hidupmu,
retaknya hatimu, tetapi mungkin itulah
yang Dia mahukan kerana Dia tahu
hati yang sebiginilah yang selalunya
lebih lunak dan mudah
untuk akrab dan dekat denganNya.

Sampai di sini sahaja. Mahu berehat-rehat memanjakan diri sebentar. hehe Oh, kepada cik Mawar Berduri, tahniah saya ucapkan kerana saudari kini sudah kembali bahagia. Saya mendoakan agar saudari lebih bahagia dan gembira di masa akan datang. (jangan lupa hantar ‘jemputan’ nanti ya) hehehe..

No comments: