Tuesday, April 29, 2008

RINDU


Pernahkah anda memendam rasa rindu yang teramat-amat lalu anda merasa bagaikan mahu meraung sekuat-kuatnya? Tidak kisahlah rindu terhadap apa jua, mungkin rindu pada ibubapa dan famili, rindu pada kenangan silam yang indah, rindu pada sahabat-sahabat yang sudah lama tidak ketemu, atau rindu pada kekasih hati yang jauh beribu batu.

Jika pernah, barangkali anda boleh membayangkan perasaan yang sama saya hadapi pada saat ini. Tiada apa sangat untuk diceritakan di sini. Setakat luahan rasa emosi cuma. Tidak penting pun. Ya benar, saya amat merindui seseorang yang sangat saya kasihi di luar negara. Di New Zealand sebenarnya. Rindu yang teramat sangat pada insan istimewa ini. Saya tahu saya seharusnya fokus menyiapkan assignment terakhir yang mesti dihantar lusa, akan tetapi fikiran saya tidak boleh ke arah itu. Saya tidak pasti kemana perginya perhatian akademik saya buat masa ini.

Makanya blog inilah menjadi teman mendengar tangisan saya serta ditemani sebiji bantal tidur dan ‘blecky’. Blecky adalah bantal lembut berbentuk manusia dan warnanya serba hitam. Ia diterbangkan khas dari Brisbane oleh cik Nisha untuk saya di Wellington sebagai souvenir. (erm pentingkah anda untuk mengenali blecky saya? Mungkin tidak. Jadi abaikan saja blecky ini.)

Berbalik semula kepada cerita rindu tadi. Hmm tatkala tiba saat-saat begini, kita mungkin sering merasakan hubungan jarak jauh seperti ini amat sukar. Benarkah begitu? Entahlah, saya pun tidak pasti ianya sukar dari segi mana. Mungkin sukar dari sudut apabila kita mahu dia berada dekat di depan mata, tetapi hakikatnya dia jauh nun di benua lain. Namun kata orang, hubungan sebegini lebih banyak hikmahnya. Baiklah, saya percaya akan segala hikmah dalam ujian dan kesukaran yang saya rasai (mungkin juga untuk menyedapkan hati ini). Aduhh fikiran saya sungguh kusut ketika ini.

Rasa bagaikan mahu pulang ke Temerloh sekarang juga. Melayan karenah Maryam (anak saudara kegemaran) yang sangat lasak di rumah pasti boleh membuatkan saya lupa akan segala rasa sedih dan sunyi. Walau bagaimanapun, saya mohon maaf kepada kedua-dua roommate yang mendengar saya menangis teresak-esak ketika ini. Jangan khuatir, saya baik sahaja. Tak perlu pujuk, tak perlu kasihan, saya hanya terikut perasaan. Biarkan sahaja saya. Yang pastinya tangisan rindu ini akan berakhir setelah saya penat menangis dan tertidur. InsyaAllah esok saya akan kembali riang dan ceria.

Sekian.

No comments: