Thursday, April 24, 2008

Hampir selesai…


30 haribulan April 2008. Ini ialah tarikh hantar assignment terakhir untuk kami semua pelajar sarjana muda Tesl di Ipba ini. Seperti tidak percaya, kami sudah hampir tamat pengajian, malah semester depan kami akan mengajar! Setapak ke dunia reality! huwaaa…sungguh cuak sekali!

Apakata kita renung sejenak ya rakan-rakan. Apakah perubahan kita sepanjang pengajian ini ya? Hmm tentu sekali sangat banyak bukan. Baik yang jelas di penglihatan mata mahupun tersirat berselindung di hati. Tapi tak perlulah kita fikir jauh sangat dari pelbagai aspek, cukup dari sudut persahabatan sahaja (buat masa ini yer).

Persahabatan itu indah. Iyer ke? Saya selalu mendengar kenyataan ini, tetapi saya tak rasa ianya 100% betul. Melihat pada pengalaman sendiri, ya, memang persahabatan itu sangat indah, bilamana kita merasa diterima, dipercayai, serasi, selesa, bahagia, gembira dan sebagainya bersama teman-teman kita. Namun begitu, perit dalam persahabatan ini terasa apabila teman itu tidak lagi mendatangkan rasa-rasa yang menyenangkan seperti yang disebut tadi. Berubah sehingga kita sukar atau tidak lagi kenal dan memahaminya.

Lebih menyedihkan lagi apabila kita sendiri tidak tahu sebab musabab dan punca dia jadi begitu. Mungkinkah kita ada menyakitkan hatinya? Mungkinkah dia telah berubah pendirian hidup? Mungkinkah dia menjumpai teman baru yang lebih baik? Banyak kemungkinan di sini. Tuhan saja yang lebih mengetahui.

Keadaan menjadi lebih menyukarkan jika ‘bekas’ sahabat itu masih ada dekat dengan kita. Terasa amat sukar menerima kenyataan bilamana sebelum ini kita beramah mesra, tetapi sekarang tidak bertegur sapa. Sebelum ini kita ada dia untuk bercerita, tetapi sekarang dia tiada untuk mendengar. Kita selalu bertemu, namun segalanya berbeza. Sedih bukan?

Saya percaya ramai yang berhadapan dengan situasi yang sama. Sama ada di Ipba ini mahupun di tempat lain. Yang pasti, persahabatan itu adakalanya mengundang air mata.

Saya menulis entri ini kerana terpukul dek perasaan sedih kehilangan teman. Saya masih sedih biarpun sudah lama memendam rasa ini. Anda yang saya maksudkan di sini, sungguhpun saya pernah memohon maaf di atas salah faham yang terjadi, sekali lagi saya mohon maaf. Saya amat hargai persahabatan kita.

Sekian.

No comments: